Program lawatan sambil belajar ke Sabah yang telah dirancang akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya dari 20 hingga 23 Ogos 2013 melibatkan 5 pelajar Program Sarjana. Rombongan tersebut diketuai oleh YBhg. Dato’ Zulkifli Yaacob, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Korporat dan turut disertai oleh beberapa pegawai IDFR dan Pensyarah UKM. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membawa pelajar-pelajar ke Ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mendedahkan mereka kepada latar belakang dan isu insiden keganasan di Lahad Datu serta strategi yang dilaksanakan bagi menangani insiden ini.
Pada 21 Ogos 2013, peserta dibawa ke ESSCOM yang terletak di Lahad Datu, dan mereka telah diberi taklimat oleh DCP Datuk Ahmad Nadzer Nordin, Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan mengenai peranan pewujudan ESSCOM dan cabaran-cabaran yang dihadapi organisasi berkenaan bagi memastikan keselamatan perairan negeri terjamin berikutan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu. Justeru itu, kewujudan ESSCOM di Sabah juga diyakini mampu mencapai matlamatnya untuk mengembalikan semula ketenteraman dan merancakkan semula kegiatan ekonomi di negeri Sabah. Peserta juga dibawa melawat perkampungan air Kampung Puyut untuk melihat sendiri cara hidup masyarakat di situ.
Keesokan harinya pula, peserta berpeluang merasai pengalaman kembara ke Taman Kinabalu yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Di sini peserta dapat menghayati keajaiban beribu-ribu spesies flora dan fauna. Peserta juga dibawa ke Air Panas Poring di mana mereka boleh merendamkan diri ke dalam air panas (sulfurik) untuk kesegaran. Air ini dipercayai boleh menjadikan kulit lebih cerah dan memulihkan penyakit kulit. Di Poring, peserta turut merasai pengalaman melintasi Laluan Kanopi setinggi 41 meter sambil menghayati pemandangan kanopi Hutan Borneo Flora.
Rombongan tersebut telah berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2013 dan selamat tiba di IDFR pada jam 2.00 petang.
Dilaporkan oleh : Pn. Zuraida Zainol
Bahagian Pengajian Serantau dan Sekuriti