Rabu, 05 Februari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Invitation to Present Lectures at ISTEDOD Foundation of the President of the Republic of Uzbekistan in Tashkent, Republic of Uzbekistan

istedod_mejar

Satu jemputan untuk menyampaikan syarahan di ISTEDOD, Yayasan Presiden Republik Uzbekistan telah dipanjangkan kepada Mejar Mohd Ridzuan Mohd Shariff (bersara), Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengajian Serantau dan Sekuriti IDFR. Jemputan ini adalah untuk menyampaikan syarahan mengenai “Case Study – Methodology and Techniques”, Pengurusan Krisis, Analisa Strategik, Kepimpinan dan Pengurusan dan juga Menguruskan Media kepada sekumpulan pensyarah-pensyarah universiti dan kolej yang dianjurkan oleh ISTEDOD di Tashkent mulai 23 – 30 Januari 2013.

Sepanjang syarahan selama empat hari itu, Mejar Mohd Ridzuan telah menyampaikan syarahan beliau dari jam 9.00 pagi sehingga jam 4.30 petang kepada kumpulan peserta yang terdiri dari lima orang pensyarah yang mempunyai kelulusan PhD, 17 orang pemegang Sarjana dan selebihnya mempunyai ijazah di dalam pelbagai bidang pengkhususan seperti Matematik, Fizik, Psikologi, Kimia, Perhubungan Awam dan Bahasa Inggeris. Dari seramai 45 orang peserta itu, cuma 22 orang sahaja yang fasih berbahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, penyampaian syarahan Mejar Mohd Ridzuan telah mendapat bantuan seorang jurubahasa yang telah menterjemahkan syarahan ke dalam Bahasa Uzbek dan Russia. Kesemua para peserta telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap subjek-subjek yang disampaikan dan mereka juga sangat teruja dan banyak memajukan soalan-soalan sewaktu sesi Soal dan Jawab di akhir setiap sesi syarahan. Para peserta juga sangat berminat untuk mendalami bagaimana kaedah dan pengajaran ‘Case Study’ disampaikan di Malaysia kerana menurut para peserta, cara penyampaian dan pendekatan yang dibuat oleh Mejar Mohd Ridzuan adalah sangat berbeza dengan bagaimana subjek itu disampaikan dan diajar di Republik Uzbekistan.

Selain dari penyampaian syarahan di kelas, Mejar Mohd Ridzuan juga telah ditemubual oleh sebuah stesyen TV tempatan yang mana ingin mengetahui mengenai kaedah ataupun metodologi penyampaian ‘Case Study’ dan bagaimana Mejar Mohd Ridzuan telah dijemput untuk menyampaikan syarahan di ISTEDOD. Pada hari terakhir syarahan beliau di ISTEDOD, kelas syarahan Mejar Mohd Ridzuan telah disampaikan secara terus melalui ‘video conference’ kepada beberapa buah universiti dan kolej di Tashkent, Samarkand dan Bukhara. Kumpulan akademik di Tashkent telah menunjukkan minat dan juga berasa sangat puas dengan sayarahan yang telah disampaikan oleh beliau.

Jemputan untuk menyampaikan syarahan di ISTEDOD, Tashkent adalah merupakan satu pengiktirafan kepada Mejar Mohd Ridzuan secara khususnya dan juga kepada IDFR secara amnya di dalam program-program syarahan yang menyeluruh dan juga kursus-kursus yang berkualiti kepada pegawai-pegawai dan institusi-institusi di seluruh negara. Sesungguhnya, IDFR telah menerima banyak pengiktirafan dan penghargaan di dalam bidang-bidang diplomasi dan hubungan luar negeri.    

Dilaporkan Oleh : Mohd Ridzuan Mohd Shariff
Bahagian Pengajian Serantau dan Sekuriti


fbk

twt

int

tk

yt