Atas permintaan Institut Antarabangsa untuk Perpaduan Umat Islam (IIMU), IDFR telah berjaya menganjurkan Bengkel Diplomasi untuk para peserta mereka dari 19 hingga 20 Mac 2013. Bengkel ini merupakan salah satu penanda kejayaan bagi IDFR memandangkan ia adalah kerjasama rasmi yang pertama antara IDFR dan IIMU.
Objektif bengkel ini adalah untuk mempromosi kesedaran dan pengetahuan asas mengenai diplomasi dan hubungan antarabangsa. Para peserta yang menghadiri bengkel ini terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di bengkel dua hari ini, mereka telah berpeluang mendengar ceramah dan taklimat daripada para pegawai Kementerian Luar Negeri.
Bengkel ini juga sejajar dengan usaha berterusan IDFR dalam program outreach dengan pelbagai institusi akademik yang mana objektif utamanya adalah untuk memupuk minat para pelajar tempatan terhadap kepentingan amalan dan kemahiran diplomatik dari perspektif Malaysia.
Para peserta serta para pegawai IIMU amat berbesar hati atas penganjuran bengkel ini oleh IDFR. Seterusnya, IIMU berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan lebih banyak bengkel akan dianjurkan pada masa akan datang.