Rabu, 05 Februari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Forum Keamanan dan Keselamatan 2013

peace1301

Satu forum bertajuk Forum Keamanan dan Keselamatan 2013 telah diadakan di IDFR pada 16 Mei 2013. Forum tersebut adalah anjuran bersama IDFR, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia dan Yayasan Cordoba dengan kerjasama Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) dan Institut Diplomatik Qatar/Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur.

Bertemakan Islam and Diplomacy -The Search for Human Security, Forum tersebut telah dihadiri oleh lebih 300 tetamu, termasuk bekas para duta besar, ahli-ahli kor diplomatik, wakil-wakil daripada kumpulan pemikir, universiti dan badan bukan kerajaan serta para pegawai dari pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Profesor Dr. Mohammad Hashim Kamali dari IAIS, diikuti ucapan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Khalid bin Mohamed Al-Attiyah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Qatar. Dalam ucapan beliau yang disampaikan dalam bahasa Arab, Tuan Yang Terutama Dr. Khalid berkata, antara lain, "keamanan tidak akan dapat diwujudkan dan keselamatan manusia tidak mungkin boleh dicapai selagi hubungan antarabangsa adalah berdasarkan tindakan kekerasan dan selagi ia digunakan secara paksa untuk mempolitikkan undang-undang dalam membolehkan campur tangan luar.”

Ini diikuti Titah Duli Yang Maha Mulia Raja Dr. Nazrin Shah, Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dan juga Penaung Diraja IDFR. Baginda telah bertitah bahawa "satu keperluan paling utama dalam mempromosi keselamatan manusia adalah kesedaran mengenai kepelbagaian dan perbezaan dalam konteks global serta konteks dalaman negara-negara individu. Kita perlu memupuk kesedaran dan kefahaman tentang pandangan hidup individu lain dan belajar untuk menghormati kepelbagaian tradisi mereka. Gabungan pengalaman masyarakat di era moden dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan budaya kini menjurus ke arah mengembalikan keselamatan dalam bentuk keperluan asas dan harapan manusia. Keamanan akan hanya dapat dicapai antara negara-negara dan dalam kalangan masyarakat majmuk negara-negara tersebut apabila keselamatan ditafsirkan dalam konteks ini. "

Dua perbincangan panel telah diadakan selepas perasmian Forum tersebut. Satu ceramah oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri dan juga Penaung IAIS akan diadakan pada sebelah malam hari di mana beliau akan berkongsi pandangan tentang Islam and Peace Building in the 21st Century.

Diterjemahkan oleh :  Aida Hanim Shoib
Bahagian Pengajian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan

fbk

twt

int

tk

yt