Jumaat, 31 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

MTCP: Strategic Analysis for International Participants 2016

mtcp2016 main

IDFR telah menganjurkan kursus Strategic Analysis for International Participants 2016 pada 20 Julai hingga 5 Ogos 2016. Kursus yang dianjurkan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan para peserta tentang teori dan teknik pemikiran strategik dan analisis keselamatan, serta untuk mendedahkan kepada para peserta tentang perubahan-perubahan suasana strategik, politik dan sekuriti. Kursus ini merupakan kursus MTCP keempat yang dianjurkan di IDFR pada tahun ini.

Seramai 21 peserta daripada 18 buah negara telah menjalani latihan selama 17 hari yang merangkumi pelbagai topik seperti wacana strategi, keselamatan negara dan antarabangsa, keselamatan bukan tradisional, undang-undang maritim, dan isu-isu kemanusiaan antarabangsa. Peserta yang terlibat adalah dari negara-negara berikut: Bangladesh, Bhutan, Brunei, Ecuador, Mesir, Georgia, Jordan, Kenya, Malawi, Malaysia, Mauritius, Palestin, Filipina, Sri Lanka, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Zambia.

Semasa kursus ini dijalankan, para peserta telah berkesempatan untuk melawat Iskandar Malaysia yang merupakan koridor pembangunan selatan utama di Johor. Para peserta juga telah berpeluang mempelajari sedikit sebanyak perancangan strategik yang dilakukan oleh pihak Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Unit Perancangan Ekonomi Johor (UPEN Johor) dalam menentukan hala tuju pembangunan yang seimbang dan mampan di negeri Johor. Memandangkan keharmonian dan keamanan merupakan elemen penting dalam memastikan kemakmuran yang berterusan, para peserta juga telah berpeluang mempelajari peranan proaktif yang dimainkan oleh Polis Diraja Malaysia Johor (PDRM Johor) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Selain itu, mereka juga telah berpeluang untuk melawat tempat-tempat menarik di Johor seperti Kota Iskandar dan Forest City.

Majlis Penutup serta Penyampaian Sijil untuk peserta-peserta kursus Strategic Analysis for International Participants 2016 dan kursus Intercultural Awareness and Diplomacy Course 2016 telah diadakan pada 5 Ogos 2016. Puan Hajah Norani Ibrahim, Pengarah (Projek Khas) IDFR, telah menyampaikan Ucapan Penutup Kursus bagi pihak YBhg. Datuk Salman Ahmad, Ketua Pengarah IDFR, serta menyampaikan sijil kepada para peserta. Cik Yuad Jaradat dari Palestin dan Encik Daler Safarov dari Tajikistan kemudiannya menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak peserta kursus. Turut hadir ke majlis tersebut adalah T.Y.T Syed Hassan Raza, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia; T.Y.T Dato’ Dr. Anwar H. Al Agha, Duta Besar Palestin ke Malaysia; T.Y.T Ibrahim Sahib Ansar, Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia; P.Y.T Laura Donoso, Duta Besar Ecuador ke Malaysia; T.Y.T Dr. Muzaffar Muhammadi, Duta Besar Tajikistan ke Malaysia, Encik Beh Ching Chye, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa (ICADD), Wisma Putra serta Wakil-wakil Kedutaan terlibat.

 mtcp2016 1  mtcp2016 2  mtcp2016 3 

                                                                       mtcp2016 4   

Dilaporkan oleh:
Cik Nur Diyana Azmi
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt