Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR telah menganjurkan kursus SPKM siri kedua bagi tahun 2019 iaitu Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai Dalam Negeri dan Pasangan 2/2019, dari 8 hingga 12 April 2019. Kursus ini dianjurkan khusus untuk para pegawai gred 38 dan ke bawah berserta pasangan mereka sebagai persediaan untuk menambahbaik kemahiran di dalam hal ehwal diplomatik, pentadbiran, dan etika sosial serta meluaskan pengetahuan di dalam amalan diplomasi antarabangsa untuk diamalkan di dalam penempatan mereka kelak.
Kursus ini telah dihadiri oleh 65 orang peserta, terdiri daripada para penjawat awam dan pasangan mereka. Para pegawai daripada tujuh kementerian dan agensi/jabatan kerajaan terlibat ialah dari Tourism Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Luar Negeri.
Kursus ini bermatlamat untuk mendedahkan para peserta mengenai urusan mereka terhadap tugas dan tanggungjawab semasa ditempatkan di Perwakilan Malaysia di luar negeri. Di antara modul yang disediakan adalah seperti syarahan berkenaan Dasar Luar Negeri Malaysia, Etika Sosial dan Makan Beradab, Hal Ehwal Protokol dan Konsular di Perwakilan, Urusan Kewangan dan Audit, Sesi Perkongsian Pengalaman bersama Mantan Diplomat Malaysia, serta Urusan Pentadbiran dan Keselamatan di Perwakilan Malaysia. Para peserta juga turut menghadiri sesi syarahan Cultural Diplomacy Lecture Series bertajuk Culture and Art: a Diplomatic Experience yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa dan Diplomasi Budaya (CLCD).
Sepanjang tempoh lima hari kursus berlangsung, IDFR percaya bahawa setiap pegawai telah dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan dan persediaan untuk ditugaskan di Perwakilan Malaysia di luar negeri. Encik Aiyub Omar, Ketua Pusat LNPD telah menyampaikan ucapan serta menyerahkan sijil penyertaan kepada para peserta semasa upacara penutup pada hari terakhir kursus.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)