Jumaat, 21 Mac 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

SPKM: Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan 5/2019

SPKM5192

Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR telah menganjurkan kursus SPKM siri kelima dan terakhir bagi tahun 2019, Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan 5/2019, dari 14 hingga 23 Oktober 2019 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur. Kursus ini dianjurkan khusus untuk para pegawai gred 41 dan ke atas berserta pasangan sebagai persediaan untuk menambahbaik kemahiran dalam hal ehwal diplomatik, pentadbiran dan etika sosial, serta meluaskan pengetahuan dalam amalan diplomasi antarabangsa untuk diamalkan pada penempatan mereka kelak.

Kursus ini telah dihadiri oleh 70 orang peserta yang terdiri daripada para penjawat awam dan pasangan mereka. Para pegawai daripada 13 kementerian dan agensi/jabatan kerajaan yang terlibat ialah daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Tourism Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Kementerian Luar Negeri (KLN).

Matlamat kursus ini adalah untuk mendedahkan para peserta tentang tugasan dan tanggungjawab mereka semasa ditempatkan di Perwakilan Malaysia di luar negara. Antara modul yang diadakan adalah sesi berkenaan Dasar Luar Negeri Malaysia, Etika Sosial dan Makan Beradab, Hal Ehwal Protokol dan Konsular di Perwakilan, Urusan Kewangan dan Audit, serta Urusan Pentadbiran dan Pengurusan Aset di Perwakilan Malaysia. Para peserta juga turut memperoleh manfaat daripada sesi-sesi berkaitan Pemerkasaan Keselamatan Peribadi, Pencegahan Keganasan dan Pencegahan Perisikan yang telah disampaikan oleh pihak Bahagian Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dua slot ceramah baharu telah diperkenalkan pada kursus kali ini, iaitu Mempromosikan Minyak Sawit Malaysia oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Perakaunan SPLN oleh Bahagian Akaun, Kementerian Luar Negeri. Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berkenaan rasionalisasi perwakilan dan pejabat agensi dan wakil kerajaan Malaysia di luar negera berkuatkuasa pada 1 Ogos 2019, satu taklimat berkenaan rancangan rasionalisasi tersebut telah disampaikan oleh Encik Shaiful Anuar Mohammad, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri bagi memberi pendedahan awal tentang rancangan kerajaan tersebut kepada para peserta.

Sepanjang tempoh lapan hari kursus berlangsung, IDFR percaya bahawa setiap pegawai telah dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan dan persediaan untuk ditugaskan di Perwakilan Malaysia di luar negara. Encik Aiyub Omar, Pengarah LNPD telah menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup serta menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta pada hari terakhir kursus.

SPKM5193 SPKM5191

Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)

fbk

twt

int

tk

yt