Sabtu, 01 Februari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

SPKM Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan 2/2020

spkm2020202

Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR telah menganjurkan kursus SPKM siri kedua bagi tahun 2020 iaitu Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan 2/2020, 5 hingga 9 Oktober 2020 di Tingkat 2, Blok C, IDFR, Kuala Lumpur. Kursus ini dianjurkan khusus untuk para pegawai (Gred 38 dan ke bawah) berserta pasangan mereka sebagai persediaan untuk menambahbaik kemahiran di dalam hal ehwal diplomatik, pentadbiran, dan etika sosial serta meluaskan pengetahuan di dalam amalan diplomasi antarabangsa untuk diamalkan di dalam penempatan mereka kelak.

Kursus ini telah dihadiri oleh 43 orang peserta, terdiri daripada para penjawat awam dan pasangan mereka. Para pegawai daripada enam kementerian dan agensi/jabatan kerajaan yang terlibat ialah dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Luar Negeri (KLN), Agensi Nuklear Malaysia, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Matlamat kursus ini adalah untuk mendedahkan para peserta terhadap tugas dan tanggungjawab mereka semasa ditempatkan di Perwakilan Malaysia di luar negara. Di antara modul yang disediakan adalah seperti syarahan berkenaan Dasar Luar Negeri Malaysia, Hal Ehwal Protokol dan Konsular di Perwakilan, Urusan Kewangan dan Audit, serta Urusan Pentadbiran dan Pengurusan Aset di Perwakilan Malaysia. YBhg. Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail dari Kementerian Pendidikan Malaysia dijemput untuk berkongsi pengalaman luas beliau sebagai seorang isteri diplomat dalam mengacara sesebuah majlis jamuan dan keramaian rasmi di dalam slot Makan Beradab dan Etika Sosial.

Sepanjang tempoh lima hari kursus berlangsung, IDFR percaya bahawa setiap pegawai telah dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan dan persediaan untuk ditugaskan di Perwakilan Malaysia di luar Negeri. Encik Hamizan Hashim, Pengarah LNPD telah menyampaikan ucapan penutup serta menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta pada hari terakhir kursus.  

spkm202020 spkm2020203

Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)

fbk

twt

int

tk

yt