Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Kursus Perundingan untuk Pegawai Muda dengan jayanya bagi tahun 2022. Kursus ini telah diadakan dari 22 hingga 24 Februari 2022 secara dalam talian melalui pautan Zoom. Kursus ini dianjurkan khas untuk pegawai kerajaan Malaysia merangkumi Gred 41 hingga 44 yang berpotensi untuk terlibat dengan perundingan secara rasmi dan tidak rasmi bersama wakil kerajaan serta bukan kerajaan, di dalam dan di luar negara.
Seramai 32 peserta yang telah menghadiri kursus ini adalah terdiri daripada para pegawai daripada pelbagai kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan. Mereka merupakan warga Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pengangkutan, dan Majlis Amanah Rakyat.
Kursus ini direka khas untuk meningkatkan kefahaman peserta berkenaan prinsip asas perundingan bagi mengukuhkan kemahiran mereka, serta berkongsi kepada para peserta tentang pengalaman sebenar berkenaan strategi, proses, alat dan taktik perundingan daripada diplomat Malaysia. Kursus ini juga bertujuan untuk membantu para peserta meningkatkan kecekapan teras dalam bidang perundingan yang berkesan melalui sesi ceramah interaktif, perbincangan berkumpulan, dan perkongsian pengalaman oleh pakar dalam bidang ini.
Sewaktu ucapan penutup, Pengarah Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), Encik Hamizan Hashim telah mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas komitmen mereka dalam menamatkan kursus. Diharapkan kursus ini dapat meningkatkan kecekapan dan profesionalisme para peserta sebagai persediaan untuk situasi perundingan sebenar.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)