Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED) telah berjaya menganjurkan siri pertama Syarahan IDFR yang menampilkan TYT Takahashi Katsuhiko, Duta Besar Jepun ke Malaysia pada 24 Februari 2022. “40th Anniversary of Malaysia’s Look East Policy: 40 Years and Beyond” dipilih sebagai tajuk ceramah sempena pencapaian Dasar Pandang Ke Timur (DPT) yang telah melangkau dekad yang keempat. Ceramah tersebut dijalankan secara hibrid dengan kehadiran seramai 30 peserta dari pegawai Wisma Putra termasuk kohort DiD 1/2022 dan juga 120 peserta secara dalam talian melalui Zoom dan Facebook live yang terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan, badan pemikir dan universiti tempatan.
TYT Takahashi Katsuhiko memulakan ceramah dengan mengimbas kembali sejarah penubuhan DPT pada tahun 1982. Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, DPT diperkenalkan dengan tujuan untuk mencontohi etika kerja dan nilai murni selain mempelajari amalan terbaik dari Jepun. Melalui dasar ini, kedua-dua negara telah memberi penekanan kepada program pengajian dan latihan untuk pelajar serta pegawai kerajaan khususnya dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Matematik.
Malaysia dan Jepun dapat menyaksikan pencapaian DPT, di mana 26,000 rakyat Malaysia telah melawat Jepun untuk sesi pembelajaran dan latihan manakala sebanyak 1,500 syarikat Jepun telah ditubuhkan di Malaysia. Kebiasaan rakyat Malaysia dengan bahasa dan etika kerja Jepun telah diketengahkan sebagai antara daya tarikan utama bagi pelaburan Jepun di Malaysia. Peningkatan hubungan antara rakyat (people-to-people connection) tetap menjadi tumpuan DPT dan Jepun kekal komited dalam menyokong pembangunan sumber manusia di Malaysia melalui pelbagai institusi.
Dalam mencorak masa depan DPT, Jepun bersedia untuk meningkatkan dasar ini ke tahap yang lebih tinggi dengan meneroka bidang kerjasama baharu seperti pengurusan risiko bencana, persekitaran neutral karbon, penuaan dan kesejahteraan masyarakat, ekonomi digital dan industri aeroangkasa. Walaupun DPT digubal dalam usaha mencontohi nilai murni negara Jepun, TYT Takahashi Katsuhiko menekankan bahawa Jepun juga boleh belajar tentang ciri kepelbagaian masyarakat, kesederhanaan Islam dan industri pelancongan negara Malaysia. Perkongsian dua hala itu juga harus ditingkatkan dalam menangani isu global seperti COVID-19, kemapanan alam sekitar, perubahan iklim, penuaan masyarakat, dan keselamatan maritim terutamanya di rantau Indo-Pasifik. Malaysia dan Jepun juga diseru untuk terus berganding bahu dalam memberikan bantuan kepada negara-negara Afrika dan Timur Tengah, terutamanya dengan apa yang berlaku di Afghanistan baru-baru ini. Ulang tahun ke-40 ini adalah peluang yang baik bagi Malaysia dan Jepun untuk mengkaji semula hasil DPT dan meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam konteks global.
Ceramah tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Puan Norli Muadza, Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi, IDFR, sebagai tanda penghargaan kepada TYT Takahashi Katsuhiko, diikuti dengan sesi fotografi bersama para peserta.
Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)