Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), IDFR telah menganjurkan Economic Diplomacy Course 2022 pada 23 hingga 25 Ogos 2022. Kursus selama tiga hari itu diadakan secara fizikal di Bilik Casuarina, Hotel Swiss-Garden, Kuala Lumpur dengan kehadiran seramai 27 peserta. Para peserta yang hadir terdiri daripada pegawai gred 44-52 dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Halal Development Corporation Berhad; Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pertahanan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Terengganu.
Oleh sebab ini merupakan kali pertama pegawai-pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyertai kursus ini, modul-modul telah diatur dengan tujuan untuk memberi pendedahan tentang pelbagai topik berkaitan ekonomi antarabangsa, perdagangan dan pelaburan serta peranan diplomasi ekonomi. Antara modul yang dijalankan adalah Malaysia’s International Trade Promotion; Economic Diplomacy for Malaysia: Post COVID-19; Economic Strategic Analysis; Return of Investments (ROI) for Organisations; Islamic Finance and Investments; IsDB Foreign Investments; ASEAN Economic Community and Current Practices; Futurism for Economy; Malaysia’s Digital Economy & Cyber Security; dan EXIM Bank Financial Brief. Melalui kursus tersebut, para peserta telah didedahkan dengan pengetahuan secara teori dan juga praktikal mengenai diplomasi ekonomi dalam membina hubungan ekonomi yang kukuh dan membuka pintu peluang ekonomi di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
IDFR amat berbesar hati menerima kehadiran penceramah jemputan dan Pakar Bidang Khusus (SMEs) yang sudi berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka bersama para peserta. Antara penceramah yang terlibat adalah Dato’ Dr Shazelina Zainul Abidin (Ketua Pengarah IDFR); Encik Amran Yem (Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Eksport & Akses Pasaran, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia); Prof. Dr. Sufian Jusoh, (Pengarah dan Profesor, Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM); Dato’ Muhammad Noor Yaacob (Bekas Duta & Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia); Encik Aznir Abdul Malek, (Bekas Pengarah Kualiti, Tenaga Nasional Berhad); Dr Kinan Salim (Penolong Profesor, International Center for Education in Islamic Finance); Encik Syed Faiq Najeeb (Pakar Kanan Kewangan Islam, Islamic Development Bank); Dr. Muhamed Zulkhibri Abdul Majid (Pakar Ekonomi Kanan, Islamic Development Bank); Puan Jamilah Haji Hassan (Pengarah Kanan, Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Prof Madya Dr Raja Kumar Murugesan (Ketua Penyelidikan, Fakulti Inovasi dan Teknologi, Taylor’s University); Major (B) Mohd Ridzuan Hj. M. Shariff (Ketua Penyelidikan Strategik, Jabatan Penasihat, Keselamatan Siber Malaysia); and Encik Azrin Azizuddin (Pengurus Perhubungan Kanan, SME & Commercial Banking, Export-Import Bank of Malaysia Berhad).
Sepanjang tiga hari kursus berlangsung, para peserta telah mengambil bahagian secara aktif di dalam sesi perbincangan kumpulan dan aktiviti bersama para penceramah. Maklum balas dan cadangan positif telah diberikan oleh peserta-peserta melalui borang penilaian yang disediakan pada penghujung setiap hari kursus. Pada hari terakhir, Ketua Pengarah IDFR telah menyampaikan ucapan penutup dan menyampaikan sijil kepada para peserta.
Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)