Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam, (LNPD) IDFR, telah menganjurkan Bengkel Kemahiran Media Pegawai Peringkat Pertengahan dari 6 hingga 8 September 2022. Bengkel ini telah dihadiri oleh para pegawai dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan IDFR.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran peserta untuk mengendalikan media dengan berkesan. Para peserta telah didedahkan dengan beberapa amalan terbaik dalam pengurusan diplomasi awam melalui media tradisional dan media sosial semasa. Selain daripada kelas dan perkongsian ilmu, bengkel ini turut merangkumi latihan praktikal secara langsung dalam mengendalikan soalan dan jawapan semasa sidang akhbar dan sesi temu duga studio melalui simulasi media. Latihan simulasi telah dijalankan oleh profesional media. IDFR yakin bengkel selama tiga hari ini telah dapat meningkatkan kesedaran para peserta tentang diplomasi awam dan kemahiran yang diperlukan untuk berkomunikasi dan mengendalikan media dengan lebih berkesan.
Semasa majlis penutup, Encik Hamizan Hashim, Pengarah LNPD menyampaikan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan penyertaan aktif mereka sepanjang bengkel berlangsung. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pensyarah dan penceramah atas perkongsian pengalaman dan interaktiviti mereka dengan peserta. Beliau turut menyampaikan sijil kepada para peserta pada hari terakhir kursus.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)