IDFR telah menganjurkan kursus “Say It Right: A Course on Pronunciation” daripada 7 – 9 Mac 2023. Seramai 25 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan menyertai kursus ini iaitu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan (MOTAC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Parlimen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Putrajaya), Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Bagi mengungkap ciri-ciri teras komunikasi berkesan, kandungan kursus termasuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai Sistem Bunyi Bahasa Inggeris serta berlatih menggunakan teknik dan ciri teras pertuturan bagi membentuk penutur bahasa Inggeris yang berkeyakinan. Ini seterusnya akan membantu peserta dalam pertuturan seharian, terutamanya dalam bidang kerja masing-masing. Selain daripada itu, bertutur menggunakan perkataan yang tepat dan memahami kepentingan nada, irama, dan sebutan suku kata merupakan aspek-aspek asas komunikasi. Ini adalah supaya matlamat bertutur boleh dicapai di mana pendengar dapat memahami maklumat yang disampaikan dengan jelas, berkesan dan berkeyakinan.
Kursus ini mendapat sambutan baik kerana ia menggalakkan peserta berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris sambil memberi tumpuan kepada masalah sebutan yang mereka hadapi dalam bahasa Inggeris. Mereka berupaya menerapkan gaya sebutan, irama dan intonasi yang tepat menerusi pelbagai situasi kehidupan sebenar terutama di tempat kerja. Mereka diukur daripada segi pemahaman mereka berkaitan kemahiran pertuturan yang baharu dipelajari. Kursus tiga hari ini juga penuh bermaklumat dan menarik.