Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) telah menganjurkan Negotiation Course for Junior Officers dengan jayanya dari 5 hingga 7 Mac 2024. Seramai 23 orang peserta Gred 41 hingga 48 daripada sembilan kementerian dan agensi kerajaan Malaysia telah menghadiri kursus tersebut. Kursus tiga hari ini direka bagi mengukuhkan kemahiran perundingan pegawai kerajaan sewaktu mewakili organisasi mereka dalam perundingan di peringkat antarabangsa. Kursus ini juga bertujuan meningkatkan pemahaman peserta tentang peraturan utama rundingan dalam mana-mana persekitaran serta menyediakan peserta dengan strategik dan taktik sebagai persediaan untuk menjadi perunding yang bagus.
Sepanjang kursus, penceramah pakar telah mengajar asas-asas rundingan yang akan membantu para peserta membina kecekapan teras mereka dalam bidang tersebut. Simulasi rundingan juga dijalankan untuk membolehkan para peserta merasai situasi sebenar proses rundingan antara negara. Pusat ini juga menjemput penceramah jemputan lain untuk berkongsi pengalaman sebagai pengamal sebenar dalam rundingan, iaitu YBhg. Datuk Hiswani Harun. Datuk Hiswani telah menghuraikan aspek rundingan dua hala dan pelbagai hala serta berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi semasa proses rundingan.
Semasa ucapan penutupan, YBhg. Dato’ Agus Salim Yusof, Pengarah LNPD, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penceramah yang telah menyampaikan pengetahuan, pandangan, serta pengalaman yang tidak ternilai kepada para peserta. Beliau turut berharap agar para peserta dapat mempraktikkan ilmu perundingan yang telah diajar dalam kursus ini bukan sahaja di tempat kerja masing-masing malah dalam kehidupan seharian.