Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan program Bengkel Penulisan Strategik pada 28 hingga 30 Oktober 2024. Bengkel ini telah diadakan di Swiss Garden Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, di mana para pesertanya adalah terdiri daripada pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), dan IDFR bagi mengikuti latihan intensif dalam menghasilkan penulisan yang berimpak, analitikal dan meyakinkan.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam mendapatkan dan menganalisis maklumat, di mana ia merupakan sebuah langkah penting dalam menghasilkan esei-esei kritikal yang disokong oleh sumber berwibawa dan penyelidikan yang kukuh. Dengan meneroka teknik-teknik yang sesuai dalam penulisan esei, para peserta diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dengan cara yang jelas dan meyakinkan, selaras dengan objektif-objektif diplomatik dalam menghadapi cabaran global semasa.
Bengkel yang diadakan selama tiga hari ini merangkumi sesi-sesi yang penuh bermanfaat daripada penceramah-penceramah profesional. Encik Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil, Felo Kanan di Akademi Jawi Malaysia, memulakan bengkel dengan sesi mengenai Kelebihan dan Kekurangan Dalam Menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) bagi Penyelidikan dan Penulisan, di mana beliau berkongsi kepada para peserta tentang peranan AI dalam penyelidikan moden. Seterusnya, Dr. Murni Wan Mohd Nor, Penyelidik Pakar di IDFR, telah memimpin dua sesi bagi Penulisan Esei Kritikal. Dalam kedua-dua sesi tersebut, beliau memberi tumpuan terhadap teknik-teknik untuk menghasilkan esei penyelidikan yang baik, koheren, dan berkualiti tinggi mengenai isu-isu semasa, di mana ia merupakan suatu kemahiran penting buat para pegawai diplomatik.
Manakala, sesi Naratif Persuasif & Kemahiran Komunikasi Berkesan yang dikendalikan oleh Encik Danial Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Asian Strategy and Leadership Incorporated (ASLI) menawarkan para peserta dengan kemahiran untuk berkomunikasi dengan idea-idea yang kompleks secara menarik dan berkesan. Pada hari terakhir, Encik Mohd Firdaus Mohamed Khairi, Pegawai Khas II di Kementerian Digital telah berkongsi ilmu mengenai Penggunaan AI dalam Penyelidikan dan Penulisan. Dalam sesi tersebut, para peserta didedahkan dengan teknik-teknik untuk memanfaatkan AI dalam kerja profesional mereka.
Dalam bengkel ini, para peserta terlibat dalam perbincangan berkumpulan dan latihan bekerjasama, serta membentangkan hasil kerja mereka pada hari terakhir program. Dato Westmoreland Edward Palon, Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi (CEC), IDFR telah menyampaikan ucapan penutupan pada hari terakhir program.
Bengkel Penulisan Strategik ini mencerminkan komitmen IDFR untuk melengkapkan para pegawai diplomatik dengan kemahiran komunikasi, memperkukuh profesionalisme, dan menyokong perkongsian maklumat yang berkesan dalam arena diplomatik global.