Jumaat, 31 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

IDFR Distinguished Lecture Series 2024: Tuan Yang Terutama Dave Malcomson High Commissioner Of South Africa To Malaysia ‘Diplomacy In An Era Of Geopolitical Contestation’

IDLS2024 main

Pada 8 Ogos 2024, IDFR Distinguished Lecture Series yang bertajuk ‘Diplomacy in an Era of Geopolitical Contestation’ telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Dave Malcomson, Duta Besar Afrika Selatan ke Malaysia. Seramai 115 peserta daripada pelbagai organisasi termasuk kor diplomatik, pegawai kerajaan, pemimpin korporat, dan ahli akademik dari badan pemikir dan universiti telah hadir ke program ini bertempat di Auditorium IDFR.


TYT Malcomson mempunyai kerjaya yang cemerlang dan memberi sumbangan yang besar terhadap diplomasi antarabangsa Afrika Selatan. Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Hubungan Antarabangsa pada tahun 1988 dan LLB pada tahun 1991 dari Universiti Witwatersrand, TYT Malcomson telah memulakan kerjaya diplomatik pada Disember 1991 dengan menyertai Department of Foreign Affairs (DFA), yang pada hari ini dikenali sebagai Department of International Relations and Cooperation (DIRCO). Antara kemuncak kerjayanya termasuk memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah bagi Regional Organisations Desk, yang bertanggungjawab melaksanakan Forum on China-Africa Cooperation (FOCAC) Summit pada tahun 2015. Dari tahun 2018, beliau berperanan sebagai ‘Sous-Sherpa’ bagi Brazil - Russia - India - China - South Africa (BRICS), India - Brazil - South Africa (IBSA), dan Indian Ocean Rim Association (IORA). Beliau kini merupakan Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia dan juga Pesuruhjaya Tinggi bukan pemastautin ke Brunei.


Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah IDFR. Acara seterusnya dikendalikan oleh Dr. Murni Wan Mohd Nor, Penyelidik Pakar IDFR sebagai moderator. Dalam sesi ceramah tersebut, TYT Malcomson telah menzahirkan pandangannya mengenai kesan persaingan kuasa besar terhadap dinamik goepolitik global di samping memberi penekanan kepada potensi kerjasama antara Malaysia dan Afrika Selatan dalam memelihara kestabilan global bagi menghadapi cabaran geopolitik pada masa kini.


Antara isu penting yang diketengahkan oleh TYT Malcomson termasuk krisis Palestin - Israel yang kian meruncing. Beliau menegaskan bahawa Afrika Selatan akan memanfaatkan pengalamannya dalam proses rundingan untuk memudahkan dialog melibatkan Palestin bagi menyokong usaha ke arah mencapai kedamaian. Beliau juga menyatakan bahawa kedudukan dasar luar Afrika Selatan terhadap isu Palestin adalah konsisten di mana Afrika Selatan sentiasa menunjukkan sokongan dalam hubungan dua hala, serantau dan pelbagai hala sejak 1994, sejajar dengan pendirian tegasnya untuk memastikan kedaulatan Palestin terpelihara.


Selain itu, beliau menekankan kepentingan Malaysia dan Afrika Selatan untuk bekerjasama dalam mengendalikan landskap geopolitik semasa melalui platform pelbagai hala kerana beliau percaya bahawa kedua-dua negara mempunyai ‘Shared Destiny in a Changing World’. TYT Malcomson turut menegaskan bahawa kerjasama antara Malaysia dan Afrika Selatan boleh dieratkan melalui saluran penting seperti South-South Cooperation, BRICS, IORA, the Non-Aligned Movement (NAM), dan Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), dalam menangani cabaran global disamping mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.


Sebagai penutup, program ini diakhiri dengan sesi soal jawab bersama para peserta.

 IDLS2024 1 IDLS2024 2 IDLS2024 3


Disediakan oleh:
Encik Muhammad Izzat Mohd Alias
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt