Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Economic Diplomacy Course for International Participants 2024 dari 18 hingga 28 Ogos 2024. Kursus selama sebelas hari ini telah melibatkan 14 peserta dari Bosnia dan Herzegovina, Kemboja, Mesir, Iraq, Kenya, Lao PDR, Maldives, Mauritius, Filipina, Sri Lanka, Syria, Thailand, Zambia, dan juga seorang pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Malaysia.
Melalui program ini, para peserta telah didedahkan dengan komponen kemahiran ekonomi yang penting termasuk perancangan ekonomi, dasar, rundingan dan perdagangan, serta pendedahan terhadap landskap geopolitik dan ekonomi global yang kian berkembang. Mereka juga memperoleh pengetahuan yang mendalam daripada para penceramah tentang dasar luar Malaysia, diplomasi ekonomi dua hala, perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan peranan penting ekonomi digital dalam menggiatkan semula ekonomi negara. Selain itu, para peserta diberikan pendedahan terhadap bidang ekonomi utama di Malaysia termasuk kewangan Islam serta pelaburan minyak, gas dan tenaga, bagi memberi pemahaman yang menyeluruh tentang landskap ekonomi Malaysia.
Selain sesi pembelajaran di dalam kelas, para peserta berpeluang melawat Batu Caves, diikuti dengan lawatan ke Pasar Seni dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di mana mereka meneroka seni dan kraftangan tempatan Malaysia. Di Putrajaya pula, mereka dibawa melawat ke Kementerian Luar Negeri, Malaysia dan merasai gastronomi tempatan di Restoran Rebung. Para peserta juga berpeluang melawat ke Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan diberi taklimat mengenai kepentingan ekonomi minyak sawit dalam ekonomi Malaysia. Lawatan ke Persatuan Persahabatan Malaysia-China juga diadakan bagi memahami hubungan ekonomi yang kukuh antara negara Malaysia dan China serta mengetengahkan elemen penting peranan diplomasi ekonomi dalam hubungan antarabangsa.
Kemuncak kursus ini merupakan lawatan ke Sabah selama empat hari tiga malam di mana mereka diberi peluang melawat ke Perkampungan Budaya Mari Mari, Taman Negara Tunku Abdul Rahman, menerokai kraf tempatan di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu dan Ladang Tenusu Desa Cattle. Para peserta juga telah membuat kunjungan hormat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah di mana mereka diberi taklimat oleh Unit Perancang Ekonomi mengenai tadbir urus dan trajektori ekonomi negeri Sabah.
Secara keseluruhan, para peserta memberikan maklum balas yang sangat baik bagi kursus ini dan menunjukkan tahap komitmen dan penglibatan yang tinggi sepanjang kursus berlangsung. Sijil penyertaan telah diberikan kepada para peserta semasa majlis penutup atas komitmen dan kejayaan mereka menghadiri kursus ini. Majlis tersebut telah dihadiri oleh tetamu kehormat antaranya TYT Ragai Tawfik Nasr, (Duta Besar Republik Arab Mesir); TYT Morecome Mumba (Pesuruhjaya Tinggi Zambia); TYT Roussel R. Reyes, (Konsul Jeneral Kedutaan Filipina); Encik Ibrahim Shaaz Habeeb, (Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Maldives); Cik Pinyada Reiniger, (Kaunselor Kedutaan Diraja Thailand); Cik Soeung Solida, (Setiausaha Pertama bagi Kedutaan Diraja Kemboja) serta wakil dari kedutaan Sri Lanka, Mauritius, Iraq dan Lao PDR bagi meraikan peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut.
Disediakan oleh:
Encik Muhammad Izzat Mohd Alias dan Cik Nurul Hawa Yaakob
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)