Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), IDFR dengan kerjasama Pusat Pemerkasaan Kompetensi (CEC), IDFR telah menganjurkan kursus bertajuk ‘Crisis Management and Crisis Preparedness’ dari 15 hingga 18 Julai 2024. Kursus ini telah dihadiri oleh 15 peserta Diploma in Diplomacy (DiD) dari Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri.
Objektif program ini adalah untuk mempersiap siaga pegawai kerajaan Malaysia dengan pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan untuk menguruskan krisis dengan lebih berkesan apabila bertugas di luar negara. Tiga hari pertama kursus ini menumpukan kepada pendedahan peserta kepada modul-modul yang relevan seperti Conflicts, Crises, and Tipping Points; Role of National Security Council (MKN) and National Disaster Management Agency (NADMA) During Crises Abroad; Role of Diplomats When Serving Abroad; Managing Documents and Government Assets; Creating Effective Communication During a Crisis; serta Fleeing a Mission berdasarkan kes-kes sebenar seperti di Sudan dan Korea Utara.
Hari keempat kursus diakhiri dengan latihan simulasi krisis yang dijalankan di IDFR di mana keupayaan peserta diuji untuk bertindak dengan segera dan berkesan di bawah tekanan, berfokuskan pada pengurusan krisis dan membuat keputusan serta mengambil kira protokol diplomatik semasa situasi krisis ketika berkhidmat di luar negara. Latihan ini menekankan kepentingan pemikiran strategik, kerja berpasukan, dan keupayaan menyesuaikan diri dalam mengekalkan operasi kedutaan selain memastikan keselamatan kakitangan, keluarga, dan pemastautin rakyat Malaysia di samping mengekalkan komunikasi dengan pihak berkuasa negara tersebut.
Para peserta telah menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Westmoreland Edward Palon, Pengarah CEC, IDFR sebagai tanda kejayaan mereka menamatkan kursus latihan ini.
Disediakan oleh:
Encik Abdul Mukhris Abdul Malek dan Cik Nurul Hawa Yaakob
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)