Jumaat, 31 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

MALAYSIAN TECHNICAL COOPERATION PROGRAMME (MTCP): Diplomatic Training Course for Timor-Leste Officials

MTCPDTCTL2024 main

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Diplomatic Training Course for Timor-Leste Officials pada 17 hingga 24 Oktober 2024. Program ini telah melibatkan seramai 20 orang pegawai kerajaan dari Timor-Leste yang mewakili pelbagai kementerian seperti Kementerian Luar Negeri, Kesihatan, Perdagangan, dan Pertahanan untuk mengikuti kursus latihan diplomatik selama seminggu di Kuala Lumpur.

Sepanjang kursus ini dijalankan, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai kurikulum praktikal yang bertujuan memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran diplomatik. Antara modul utama yang diketengahkan ialah Pengenalan kepada Malaysia, Dasar Luar Malaysia, Rundingan Antarabangsa dalam ASEAN, Diplomasi Awam dalam Dasar Luar, serta Kepimpinan dan Komunikasi Strategik. Sesi-sesi tersebut telah dikendalikan oleh pakar bidang yang berkongsi pengetahuan tentang pendekatan diplomasi Malaysia dan melatih peserta dengan kemahiran praktikal untuk menjalankan komunikasi dan rundingan berkesan di arena antarabangsa.

Selain daripada sesi di dalam kelas, para peserta turut berpeluang meneroka tempat-tempat menarik dan bersejarah serta mengenali budaya Malaysia. Lawatan ke mercu tanda Malaysia di Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Genting Highlands, termasuk Pasar Seni dan Menara Kuala Lumpur telah memberikan para peserta perspektif unik terhadap kekayaan warisan budaya dan diplomatik Malaysia. Sepanjang kursus ini, para peserta telah menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dan telah memberi maklum balas positif mengenai kepentingan dan manfaat yang diperolehi melalui program ini. 

Pada hari terakhir program ini, Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah diadakan bermula dengan ucapan penutup oleh YBhg. Dato' Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah IDFR dan Tuan Yang Terutama (TYT) Lisualdo Gaspar, Duta Besar Timor-Leste. Acara seterusnya dilanjutkan dengan ucapan penghargaan oleh Dr. Terlinda da Conceição Barros, Ketua Pengarah Perkhidmatan Hospital di Kementerian Kesihatan Timor-Leste sebagai wakil para peserta di mana beliau menekankan tentang pengalaman berharga yang mereka perolehi sepanjang kursus dijalankan. Secara umumnya, kursus latihan ini telah mencerminkan komitmen IDFR dalam memupuk kerjasama antarabangsa dan pembangunan kapasiti dalam bidang diplomasi serta mengukuhkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Timor-Leste.

 MTCPDTCTL2024 1 MTCPDTCTL2024 2 MTCPDTCTL2024 3

Disediakan oleh:

Cik Nurin Nabilah Asraf

Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt