Jumaat, 31 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Syarahan Umum oleh Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão, Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste

PL2024 main

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah diberi kehormatan menganjurkan Sesi Syarahan Umum IDFR bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Kay Rala Xanana Gusmão, Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, pada 2 Disember 2024. Beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk “International Diplomacy in an Increasingly Fragmented and Fragile World”, dan berkongsi pandangan serta pengalaman beliau sepanjang perjalanan Timor-Leste menuju kemerdekaan dan cabaran global semasa yang dihadapi dalam amalan diplomasi.


TYT Kay Rala Xanana Gusmão merupakan seorang tokoh unggul dalam sejarah Timor-Leste. Beliau telah memimpin perjuangan rakyat Timor-Leste dalam mencapai kemerdekaan dan telah dipilih secara demokratik menjadi Presiden pertama negara itu pada tahun 2002 hingga 2007 serta berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 2007 hingga 2014 dan pada tahun 2023 hingga kini. Legasi beliau merangkumi usaha memupuk perpaduan nasional, memajukan pertumbuhan ekonomi, dan mengetuai rundingan diplomatik Timor-Leste berkaitan sempadan maritim. Sebagai seorang negarawan, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh keamanan, tadbir urus, dan pembangunan lestari. Beliau juga telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa di atas sumbangan beliau.


Dalam syarahannya, TYT Gusmão menekankan peranan transformasi terhadap diplomasi. Beliau mengimbas kembali perjuangan 24 tahun rakyat Timor-Leste untuk mencapai kemerdekaan dan berkongsi tentang cabaran besar yang dihadapi oleh rakyat tempatan sepanjang tempoh tersebut. Beliau menegaskan kepentingan usaha membina keamanan melalui dialog dan perdamaian, sambil menekankan bahawa konflik harus digantikan dengan pemahaman dan kerjasama.


Beliau turut mengulas tentang cabaran global masa kini, termasuk konflik di Gaza, Ukraine, dan Myanmar, sebagai peringatan tentang betapa rentannya keamanan. Beliau berhujah bahawa diplomasi harus kekal sebagai teras penyelesaian konflik dan menyeru dialog yang inklusif terus diadakan. Seruan beliau untuk memperbaharui komitmen terhadap multilateralisme dan kerjasama serantau, khususnya melalui ASEAN, mendapat sambutan hangat daripada hadirin.


Dalam penutup syarahan, TYT Gusmão menggariskan peranan penting institusi seperti IDFR dalam melahirkan generasi baharu diplomat. Beliau menekankan kepentingan melengkapkan pemimpin muda dengan kemahiran untuk menghadapi dunia yang semakin kompleks, membina perpaduan, dan mengutamakan perdamaian.


Syarahan ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif, di mana TYT Gusmão menjawab soalan daripada tetamu yang hadir termasuk mengenai persiapan Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN. Beliau menyatakan keyakinannya terhadap pencapaian matlamat ini sambil menekankan usaha harian yang giat dilakukan untuk memenuhi keperluan ASEAN.


Majlis ini diakhiri dengan sesi makan malam di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, bagi menyediakan peluang untuk perbincangan lanjut dan pertukaran idea yang bermakna antara pelbagai pihak.

PL2024 1 PL2024 1 PL2024 3
Disediakan oleh:
Cik Nurin Nabilah Asraf
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt