Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), IDFR telah menganjurkan Strategic and Security Analysis Course pada 25 hingga 27 September 2024. Kursus selama tiga hari ini diadakan secara fizikal di Ramada Suites By Wyndham KLCC, Kuala Lumpur dengan kehadiran seramai 20 orang peserta. Para peserta adalah terdiri daripada pegawai-pegawai gred 41 hingga 52 dari pelbagai kementerian dan agensi, termasuk Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Perladangan dan Komoditi; Jabatan Kebajikan Masyarakat; Majlis Keselamatan Negara Sabah; Polis Diraja Malaysia; serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dari Pahang, Kedah, Perlis, Perak dan Sarawak.
Antara modul yang dijalankan dalam kursus ini ialah Dasar Luar Malaysia dan Kepentingan Strategik; Dasar dan Strategi Pertahanan Negara Malaysia; Analisis Strategik dan Risikan; Pendekatan Strategik dalam Keselamatan Siber; Komunikasi Strategik; dan Alat Analisis Strategik dalam Membuat Keputusan. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kaedah analisis kritikal sambil menggalakkan perbincangan dan pertukaran pendapat. Kursus ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran yang diperlukan oleh pegawai kerajaan bagi merangka pendekatan inovatif dalam perancangan dasar dan matlamat strategik di peringkat organisasi, nasional dan antarabangsa.
Sepanjang kursus tiga hari ini, para peserta telah melibatkan diri secara aktif dalam kuliah, perbincangan kumpulan, serta aktiviti simulasi bersama penceramah. Peserta telah diberikan gambaran menyeluruh mengenai dasar luar Malaysia dan kepentingan strategiknya, dasar pertahanan negara serta keselamatan siber. Mereka juga diajar strategi komunikasi dan pembuatan keputusan yang berkesan. Untuk meningkatkan penglibatan dan pemahaman terhadap topik kursus, pelbagai perbincangan kumpulan dan aktiviti simulasi telah dijalankan bagi membolehkan para peserta memahami realiti pengurusan konflik, komunikasi, dan pembuatan keputusan dalam situasi sebenar.
Pada hari terakhir, semua peserta telah diberikan sijil penyertaan oleh Encik Harvinder Singh Ramday, PYMT Pengarah PSED sebagai pengiktirafan atas penglibatan mereka dalam Strategic and Security Analysis Course.
Disediakan Oleh:
Mr. Ahmad Muziru Idham Adnan
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)