Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai-Pegawai Home-Based serta Pasangan di Bawah Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Luar Negara Siri 1 (SPKM 1/2025) yang berlangsung dari 4 hingga 14 Februari 2025 di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Kursus ini bertujuan untuk melengkapkan pegawai Gred 41 ke atas serta pasangan sebagai persiapan untuk tugasan mereka di luar negara.
Siri pertama kursus ini telah dihadiri seramai 77 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Luar Negeri Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tourism Malaysia, dan Lembaga Tabung Haji.
Sepanjang lapan hari kursus, para pegawai terlibat dalam sesi komprehensif yang merangkumi inspektorat, pengurusan aset, pentadbiran kewangan, protokol dan perkhidmatan konsular yang memberikan panduan penting dalam pengurusan sumber serta kecekapan operasi di misi luar negara. Kekuatan dan peluang Malaysia dalam perkhidmatan pendidikan swasta, pelancongan kesihatan dan promosi perdagangan dibincang untuk membolehkan para peserta lancar dalam mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan dan pelancongan. Selain itu, program ini turut menekankan aspek integriti, kesedaran keselamatan dan pengurusan krisis bagi menekankan kepentingan etika dan langkah-langkah keselamatan. Bagi mengiktiraf kepentingan pembawaan diri dalam suasana diplomatik, kursus ini turut menyediakan sesi khas mengenai etiket sosial dan interpersonal.
Antara sesi yang menarik adaalah sesi perkongsian mengenai peranan dan tanggungjawab misi diplomatik Malaysia yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Agus Salim Yusof, Pengarah Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam. Beliau telah berkongsi pengalaman luas beliau semasa bertugas di Perwakilan-perwakilan Malaysia. Beliau menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia dan memaparkan imej negara yang positif. Sesi interaktif ini membolehkan peserta memahami cabaran sebenar diplomasi serta peranan mereka dalam menyokong kepentingan Malaysia di peringkat global.
Kursus ini diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah IDFR, YBhg. Dato’ Syed Bakri Syed Abdul Rahman. Beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta atas komitmen mereka serta menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat. Maklum balas positif yang diterima membuktikan keberkesanan program ini dalam melengkapkan pegawai dan pasangan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam penempatan diplomatik masing-masing.
Disediakan oleh:
Cik Manishahz a/p Sangkar
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)