Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), IDFR, berjaya menjalankan kursus Bahasa Inggeris dalaman pertamanya tahun ini yang bertajuk, "Say It Right: A Course on Pronunciation”. Kursus yang julung kali diadakan di premis baharu IDFR di Menara Aras Raya, direka untuk meningkatkan kemahiran komunikasi lisan peserta dengan melengkapkan mereka dengan teknik sebutan yang berkesan yang penting untuk interaksi profesional.
Kursus ini merangkumi aspek utama sebutan, termasuk kesedaran berkaitan sistem bunyi bahasa Inggeris, cabaran sebutan yang dihadapi oleh penutur Malaysia, dan elemen pertuturan yang berkesan seperti intonasi, penekanan kepada perkataan, ayat dan irama. Menguasai unsur-unsur ini membolehkan para peserta memperhalus kejelasan pertuturan mereka dan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka secara keseluruhan.
Seramai 27 orang peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah menghadiri kursus ini termasuk daripada Kementerian Luar Negeri, Jabatan Tenaga Atom, Kementerian Kewangan, Kementarian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Agensi Angkasa Malaysia, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK/ KESUMA), Kementerian Kesihatan dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri.
Kursus ini menerima maklum balas positif, kerana para peserta menghargai pendekatan praktikalnya untuk meningkatkan pertuturan bahasa Inggeris dalam interaksi di tempat kerja. Seterusnya, kursus ini dapat menangani kesukaran sebutan yang unik kepada penutur Malaysia, terutamanya dalam menghasilkan bunyi yang tidak wujud dalam bahasa ibunda mereka. Melalui simulasi interaktif dan latihan praktikal, peserta kursus menerima maklum balas yang membina daripada tenaga pengajar dan berpeluang menggunakan teknik sebutan dalam skop pekerjaan. Pengalaman pembelajaran yang menarik ini bukan sahaja meningkatkan kejelasan pertuturan mereka tetapi juga meningkatkan keyakinan mereka dalam komunikasi profesional.