
Pada 5 Ogos 2025, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Negeri Malaysia telah menganjurkan program syarahan awam “Public Lecture on The Growing Intersection of Economics and Geopolitics” yang disampaikan oleh Dr Fergus Cumming, Timbalan Ketua Ekonomi, Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) United Kingdom yang diadakan di Wisma Putra, Putrajaya.
Dr Fergus Cumming membentangkan tentang kesan-kesan perkembangan teknologi global terhadap alam sekitar yang telah menyumbang kepada perubahan iklim; transformasi landskap ekonomi global hasil daripada evolusi teknologi; kesan teknologi terhadap perubahan demografi seperti kadar kesuburan, jangka hayat dan ketidakseimbangan penduduk di wilayah tertentu, dan isu-isu lain yang berkaitan. Beliau juga membincangkan isu-isu geoekonomi seperti China’s Belt and Road Initiative sebagai langkah strategik China bagi mengembangkan pengaruh globalnya, pertikaian perdagangan antara Rusia dengan Ecuador, dan peranan negara-negara serantau seperti E7 (Brazil, China, India, Indonesia, Mexico, Rusia, dan Türkiye) yang dijangka mengatasi G7 (Kanada, Perancis, German, Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom, dan Jepun) sebagai kuasa utama ekonomi dunia pada masa hadapan.
Semasa sesi soal jawab, para peserta membangkitkan pelbagai isu termasuklah persoalan mengenai moraliti dalam membuat keputusan ekonomi, kesan Brexit ke atas ekonomi United Kingdom, implikasi kenaikan tarif Amerika Syarikat terhadap politik global, dan sebagainya.
Para peserta berpeluang untuk mendalami topik perbincangan melalui sesi soal jawab ini dan diharapkan agar perbincangan ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak dalam pelbagai sektor.
Sesi syarahan tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderahati dan sesi bergambar dengan semua pihak terlibat yang terdiri daripada pegawai-pegawai kementerian, agensi, kedutaan, dan suruhanjaya tinggi.
Program ini bukan sekadar syarahan, tetapi merupakan inisiatif hubungan diplomatik dua hala yang berterusan antara Malaysia dan United Kingdom bagi memudahkan proses perkongsian pengetahuan dalam bidang kepentingan bersama.

