Forum Antarabangsa bagi Latihan Diplomatik (IFDT) ke 39 yang dihoskan oleh The Fletcher School of Law and Diplomacy, Tufts University telah diadakan di Boston dari 25 hingga 28 September 2011. Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) diwakili oleh Ketua Pengarahnya, YBhg. Dato' Ku Jaafar Ku Shaari.
IFDT yang ditubuhkan pada 1972, dipengerusikan oleh Edmund A. Walsh School of Foreign Service, Universiti Georgetown dan Diplomatic Academy of Vienna. Persidangan tahunan IFDT diadakan bagi berkongsi maklumat tentang perubahan-perubahan baru dalam bidang diplomasi dan pengalaman yang diperolehi melalui latihan kerjaya diplomatik dan antarabangsa.
Pada tahun ini, IFDT memberikan tumpuan kepada cabaran dalam bidang diplomasi sewaktu peralihan masa. Topik-topik lain yang turut dibincangkan termasuklah Regional Cooperation in Diplomatic Training, Multilateral Diplomacy at the UN: The Power of the Better Argument, Wikileaks and Diplomatic Reporting, Diplomacy in the Age of Transition, The Diplomacy of Transitional Justice dan International Environmental Negotiation.
Sebagai sebahagian daripada program yang dianjurkan, ahli-ahli forum telah mengikuti lawatan ke Muzium dan Perpustakaan Presiden John F. Kennedy.