Memulakan Tahun Baru 2013 dengan langkah yang positif, Bahagian Latihan, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan dengan jayanya Workshop on Public Diplomacy and Media Skills 1/2013, pada 14 hingga 17 Januari 2013. Bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pegawai dari pelbagai Kementerian dan Agensi iaitu SEARCCT, MATRADE, Kementerian Pertahanan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Bahagian Pengambilan Tanah dan juga IDFR. Seramai dua puluh lima (25) peserta telah menghadiri bengkel ini.
Dengan peningkatan penyebaran maklumat dan tindak balas pantas dalam pelbagai situasi kini, amatlah penting untuk kekal relevan, tepat dan berkebolehan dalam menangani isu-isu yang mencabar melalui diplomasi awam. Menyedari hakikat ini, Workshop on Public Diplomacy and Media Skills dianjurkan untuk memberi peserta pengetahuan dan kemahiran pengendalian media dalam konteks diplomasi awam. Bengkel ini juga mengetengahkan diplomasi awam dan kemahiran media dari aspek konseptual dan praktikal melalui topik yang spesifik seperti Public Diplomacy, Cross-Cultural Understanding, The Role of Media in Public Diplomacy dan Effective Media Relations. Simulasi sidang akhbar dan temubual bersama media juga turut dilaksanakan supaya peserta dilengkapi dengan kemahiran, teknik dan keperluan yang bersesuaian apabila berhadapan dengan pihak media.
Dilaporkan oleh : Alina Murni Md Isa
Bahagian Latihan