Seramai seratus dua belas kakitangan Kementerian Luar Negeri dari dalam dan luar negara telah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam satu majlis pada 9 Mei 2013, di Putrajaya.
Dalam ucapan beliau, Tan Sri Mohd. Radzi Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian berkata bahawa anugerah tersebut merupakan pengiktirafan Kerajaan dan juga Kementerian atas khidmat cemerlang yang ditunjukkan oleh kesemua penerima dalam melaksanakan dasar-dasar Kerajaan. Beliau berharap anugerah tersebut akan membantu memberi motivasi kepada mereka untuk meningkatkan kualiti kerja serta kualiti hidup. Beliau turut mengambil peluang untuk mengingatkan kesemua yang hadir untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan peribadi dan berpegang kepada Kod Etika Kementerian.
Tiga kakitangan IDFR adalah antara penerima anugerah; Puan Noraini Awang Nong dari Bahagian Pengajian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan, Puan Shahrulbariah A. Rashid dari Bahagian Pengajian Serantau dan Sekuriti dan Encik Mahassan Mahamad dari Bahagian Khidmat Pengurusan dan Korporat.
Dilaporkan oleh: Noraini Awang Nong
Bahagian Pengajian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan