Pada Rabu, 13 Jun 2013, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjadi tuan rumah kepada Forum Perdana Ehwal Islam bertemakan Pelancongan dari Perspektif Islam bertempat di Dewan Serbaguna Institut ini,.
Objektif forum diadakan adalah bagi meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia tentang konsep pelancongan dari perspektif Islam dan mewujudkan kesedaran tentang peranan mereka dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. Forum tersebut dipengerusikan oleh Dr. Ridhuan Tee Abdullah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Penceramah bagi sesi pertama yang bertajuk We are the Host ialah Prof. Madya Dr. Syarifah Hayati Syed Ismail dari Universiti Malaya (UM), Dato’ Hj. Mohd Ayub Hassan, Presiden Persatuan Agensi-Agensi Perlancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Dato’ Hj. Azizan Noordin, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).
Sesi tersebut merangkumi kepentingan menyambut kedatangan pelancong ke negara kita dalam usaha untuk menarik lebih ramai lagi untuk datang melawat, dengan menyelitkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip keIslaman. Menurut Dato’ Hj. Azizan, Kementerian Pelancongan bercadang untuk menawarkan kursus bagi para pekerja yang terlibat dalam sektor pelancongan, dalam usaha meningkatkan kemahiran mereka menyambut kedatangan pelancong. Beliau turut menyatakan bahawa program Homestay adalah salah satu medium lain untuk mempromosi makanan tradisional dan adat resam kita. Beliau mencadangkan agar rakyat Malaysia bersatu dan bekerjasama dalam memaparkan keunikan negara kita yang berbilang kaum melalui acara-acara persembahan.
Sesi kedua bertajuk Semua Allah Punya dan penceramahnya adalah Dr. Zahazan Mohamed, seorang personaliti televisyen, Prof. Dato’ Dr. Abdul Kadir Haji Din, Penasihat Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Dato’ Mohd. Khalid Harun, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). Sesi tersebut menekankan cara menghargai persekitaran kita, dan kebersihan gerai-gerai makanan dan institusi.
Para penceramah tersebut berkongsi pandangan yang sama dalam meningkatkan kebersihan kemudahan dan menangani masalah pembaziran di Malaysia, yang akan membantu meningkatkan kadar kemasukan pelancong.
Forum tersebut telah dirakam oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang merupakan penganjur bersama. Tarikh dan masa untuk siaran masih belum ditetapkan.
Dilaporkan oleh: Syahrul Nizzam Nordin
Pelatih Industri dari Universiti Tun Abdul Razak
Diterjemahkan oleh: Aida Hanim Shoib
Bahagian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan