Program Latihan Diplomatik bagi Peserta Iraq (Diplomatic Training Programme for the Iraqi Participants) telah dijalankan oleh IDFR bermula dari 22 hingga 31 Oktober 2023, dengan penyertaan seramai 10 orang diplomat dari Kementerian Luar Republik Iraq. Program khusus ini merupakan bukti kerjasama padu antara Malaysia dan Iraq yang direalisasikan susulan lawatan YB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Malaysia bersama TYT Dr Fuad Hussein, Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Perhubungan Antarabangsa dan Menteri Luar Negeri Republik Iraq pada Ogos lalu.
Sepanjang sepuluh hari program tersebut, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik penting dalam diplomasi dan hubungan luar negeri, selari dengan bidang kepentingan Kementerian Luar Iraq. Ianya antara lain termasuk Narrative Framing and Country Branding, Presentation Skills, Fine-Dining and Diplomatic Etiquette, Integrity in the Government Services, Public Diplomacy and the Role of Social Media, Counter-Terrorism, dan International Negotiations.
IDFR berbesar hati menampilkan pegawai diplomatik dari Wisma Putra dan pakar bidang khusus (SME) yang telah menyampaikan perkongsian mengenai kemahiran dan amalan terbaik dalam bidang diplomasi kepada para peserta. Kunjungan hormat ke atas YB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Malaysia merupakan acara kemuncak program tersebut, yang pastinya merapatkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Iraq.
Beberapa sesi perangkaian (networking) turut diadakan dengan pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) serta Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT).
Para peserta juga didedahkan dengan dasar luar, institusi, nilai dan budaya Malaysia melalui pengalaman pembelajaran di luar kelas. Hal ini termasuk lawatan rasmi ke Wisma Putra, MITI, MATRADE, Pusat Pentadbiran di Putrajaya, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Pertunjukan Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), serta beberapa lawatan kebudayaan dan bersejarah ke mercu tanda ikonik sekitar Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar PETRONAS dan Menara Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, para peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan penglibatan yang aktif sepanjang program. Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil telah diadakan pada 30 Oktober 2023 dan dihadiri oleh YBhg. Dato’ Syed Bakri Syed Abdul Rahman (Ketua Pengarah IDFR) dan pasangan, YBhg. Datin Sharifah Fadzlina Syed Abdullah, Puan Ghada Abduljabbar Dawi (Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Besar Republik Iraq), YBhg. Dato' Sri Naresh Mohan (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hotel Ramada, Trinidad Holdings), dan Puan Nuryante Mohd Yazid (Pengarah, Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, IDFR). Kesemua peserta telah dianugerahkan sijil penyertaan oleh Ketua Pengarah IDFR, melambangkan kejayaan mereka dalam melengkapkan program latihan diplomatik yang penuh bermanfaat tersebut.
Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)