Jumaat, 31 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Pelancaran Buku IDFR: "From Hate to Hope – A Holistic Approach to Address Hate Speech"

 booklaunch main

Pada 17 Januari 2025, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), dengan kerjasama Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI), telah mengadakan pelancaran buku "From Hate to Hope – A Holistic Approach to Address Hate Speech" bertempat di Bilik Triti, IDFR. Acara ini telah mengumpulkan para cendekiawan, penggubal dasar, dan pemikir-pemikir, termasuk YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz yang hadir sebagai tetamu kehormat.

Acara tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Harvinder Singh Ramday, PYMT Pengarah Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Encik Danial Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif ASLI. Forum ini dipengerusikan oleh Encik Gerard Ratnam, Ketua Bahasa Inggeris di Bernama TV, dan diikuti dengan sesi perbincangan panel bersama Dr. Murni Wan Mohd Nor, Penyelidik Pakar di IDFR, serta Profesor Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh, Ketua Program Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr. Murni yang merupakan pengarang buku ini telah berkongsi mengenai perjalanan peribadinya yang memberi inspirasi kepada karya beliau. Pengalaman beliau yang mengalami tindakan ucapan kebencian semasa kecil ketika membesar di Amerika Syarikat dan kemudiannya sewaktu zaman universiti di Malaysia menyebabkan beliau membangunkan komitmen tinggi bagi memerangi ucapan kebencian dan memupuk pemahaman kepada masyarakat. Dengan pengalaman lebih daripada 13 tahun dalam bidang ini, bukunya menjadi refleksi pengalamannya dan panduan praktikal untuk menangani ucapan kebencian melalui pendekatan holistik. 

Sesi perbincangan panel telah membincangkan tentang bahaya ucapan kebencian, peranan diplomasi dalam mempromosikan keterangkuman, serta strategi yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi isu polarisasi. Para hadirin terlibat secara aktif semasa sesi soal jawab seraya menyumbang kepada pertukaran idea yang bermakna dalam usaha memupuk komuniti yang berdaya tahan dan inklusif.

Kemuncak bagi acara ini adalah sesi pelancaran rasmi bagi buku tersebut, yang disempurnakan oleh Encik Harvinder Singh Ramday, bersama Encik Danial Abdul Rahman dan Dr. Murni Wan Mohd Nor. Pelancaran itu juga turut disertakan tayangan video yang merangkumi tema dan kepentingan buku tersebut.

Acara berakhir dengan sesi jaringan kenalan sambil menikmati juadah ringan yang memberi peluang kepada hadirin untuk meneruskan perbincangan dan pertukaran idea yang bermakna.

Sebagai pusat antarabangsa untuk latihan dan penyelidikan dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa yang bertaraf global, IDFR komited dalam memastikan agar hasil penyelidikan dapat diakses secara meluas oleh orang ramai. Oleh hal demikian, maka salinan PDF percuma bagi buku ini turut disediakan di laman web IDFR.

 booklaunch 1 booklaunch 2 booklaunch 3

 

Disediakan oleh:
En. Ahmad Muziru Idham Adnan
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt