Sabtu, 08 November 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

7th Malaysia-Australia Mid-Career Roundtable Discussion

RT2025 MAIN

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah berjaya mengadakan program ‘7th Malaysia-Australia Mid-Career Roundtable Discussion’ yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 22 hingga 24 Julai 2025. Program ini dianjurkan mengikut penggiliran, di mana Malaysia – melalui IDFR – telah menjadi tuan rumah yang pertama pada tahun 2009, diikuti oleh Australia pada 2011. Ia kemudiannya diadakan di Malaysia pada tahun 2013 dan 2017, dan di Australia pada tahun 2015 dan 2022. Penganjuran program ini yang bertujuan mengukuhkan hubungan antara Malaysia-Australia menjadi lebih bermakna apabila tahun 2025 merupakan ulangtahun ke-70 bagi kerjasama diplomatik antara Malaysia-Australia.


Lapan belas (18) orang pegawai kerajaan yang mewakili pelbagai kementerian dan agensi dari kedua-dua negara terlibat dalam perbincangan kritikal mengenai pelbagai isu, termasuklah mengenai kerjasama ASEAN-Australia dalam menangani krisis di Myanmar; isu yang berkaitan dengan Laut China Selatan dan keselamatan maritim; cabaran perang dagang dan langkah-langkah ke arah integrasi ekonomi; cabaran yang timbul dengan kecerdasan buatan dan kedaulatan digital; serta inisiatif untuk memupuk ruang dalam mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Australia terhadap kestabilan serantau. Perbincangan tersebut menekankan kepentingan memajukan kerjasama dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, industri halal, dan infrastruktur digital, serta memperkasakan organisasi kemanusiaan dan mengutamakan kerjasama pembangunan ekonomi berbanding kerjasama ketenteraan, di samping beberapa cadangan konstruktif lain. Pertukaran pandangan antara pegawai Malaysia dan Australia telah menjana idea yang boleh menyumbang secara positif ke arah pembangunan dasar luar bagi kedua-dua buah negara.


Di samping perbincangan meja bulat, para peserta turut memperdalam pengetahuan mereka tentang dasar luar melalui syarahan oleh penceramah-penceramah terhormat. Sesi ceramah disampaikan oleh Encik Azhan Mohamed Yasin, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (AMNS) dari Kementerian Luar Negeri Malaysia, yang mengupas mengenai topik Malaysia’s Foreign Policy and ASEAN Priorities; Puan Yang Terutama Danielle Heinecke, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, yang berkongsi tentang Australia's Foreign Policy and ASEAN Priorities; Encik Qarrem Kassim, Penganalisis, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, yang membincangkan Trade Wars in the Digital Era, dan Cik Aida Safinaz Allias, Pengarah Kanan di Bahagian Perhubungan Serantau & Antarabangsa, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia yang membentangkan mengenai Economic Diplomacy in a Fragmented World.


Para peserta juga diberi peluang untuk meneroka sejarah kewangan dan seni tempatan Malaysia di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia. Pada hari terakhir, para peserta telah dianugerahkan sijil tamat kursus oleh Puan Maslina Ngah Mamud, Pengarah di Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka sepanjang program selama tiga hari tersebut.

                          RT2025 1 RT2025 2 RT2025 3

tk

twt

fbk

yt

int