
Pada 2 Oktober 2025, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) menganjurkan program ‘Forum on ASEAN: Shaping a More Inclusive and Sustainable Future’ di Hilton Kuala Lumpur. Bersempena dengan forum tersebut, IDFR juga turut melancarkan penerbitan terbarunya, ‘ASEAN 2025: Fostering Resilient and Equitable Futures Through Inclusivity and Sustainability.’ Ucaptama telah disampaikan oleh YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri, Malaysia.
Forum tersebut menampilkan tiga sesi pleno, iaitu ‘Plenary Session I: ASEAN’s Security Dilemma: Can ASEAN Lead its Own Regional Order Beyond Major Power Politics?’, ‘Plenary Session II: Powering Through Uncertainty: Economic Security and ASEAN’s Role in a Fragmented Global Trade Landscape’, dan ‘Plenary Session III: Inequality and Sustainable Development: Can ASEAN Build a Future for All?’
Ketiga-tiga sesi ini menghimpunkan para panelis dan moderator terkemuka di rantau ini. Forum ini dihadiri oleh lebih daripada 385 orang peserta, termasuklah pegawai kerajaan, ahli kor diplomatik, penggubal dasar, pakar bidang, wakil badan pemikir, ahli akademik, wakil organisasi masyarakat sivil serta pelajar sekolah menengah. Peserta yang hadir bukan sahaja terdiri daripada wakil tempatan, bahkan turut melibatkan peserta antarabangsa dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Thailand, China, serta duta-duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia.
Sewaktu forum tersebut, para panelis membincangkan isu utama, termasuklah:
1) Keperluan untuk ASEAN kekal sebagai pemacu utama dalam pembinaan serantau;
2) Kepentingan kedaulatan data kepada ASEAN bagi mengekalkan kawalan terhadap keselamatan digitalnya sendiri sebagai pengguna teknologi;
3) Keberpusatan ASEAN bergantung kepada tindakan yang diambil, menjunjung kesatuan dalam kepelbagaian, dan pembentukan hasil supaya Asia Tenggara kekal sebagai aktor utama dalam pembuatan keputusan, bukannya pihak yang diperalatkan;
4) Keutamaan ASEAN dalam memperkukuh kemudahan menjalankan perniagaan melalui peraturan yang dipermudah, pemudahcaraan perdagangan, pelaksanaan komitmen, mobiliti tenaga kerja, dan penyelarasan dasar perindustrian;
5) Usaha ASEAN untuk mempelbagaikan perdagangan, memacu transformasi digital, dan mempercepatkan peralihan hijau bagi membina kelebihan daya saing baharu;
6) Pendirian berkecuali ASEAN dalam persaingan AS-China yang berteraskan prinsip ZOPFAN (Zon Aman, Bebas dan Berkecuali);
7) Peranan ASEAN dalam menggalakkan penghijrahan tenaga kerja berkemahiran sederhana hingga tinggi melalui kerangka seperti ASEAN Qualifications Reference Framework;
8) ASEAN Vision 2045 yang menekankan ketahanan, inovasi, keterangkuman, dan pembangunan berpusatkan rakyat dengan sasaran serta ketelusan yang jelas; dan
9) Keperluan untuk ASEAN mengiktiraf literasi digital dan akses kepada teknologi sebagai hak asasi yang setaraf dengan penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Sepanjang forum tersebut, para peserta terlibat secara aktif memberi pandangan dan soalan yang kritis terkait tentang hal ehwal ASEAN dalam memberi cadangan bagi meningkatkan kemampuan ASEAN sebagai sebuah organisasi serantau yang berpengaruh di peringkat antarabangsa. Program tersebut berakhir dengan Ucapan Penutupan oleh Dato’ Zainol Rahim Zainuddin, Ketua Pengarah IDFR.

