Rabu, 05 Februari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Protokol dan Etiket untuk Pegawai Timor Leste dan Program Latihan Bahasa Inggeris dan Mediasi Diplomatik (ETDMP)

MTCP TIMORLESTE main

Dari 11 hingga 22 November 2024, Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan dua program di bawah naungan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), iaitu kursus Protokol dan Etiket untuk Pegawai Timor Leste dan kursus Program Latihan Bahasa Inggeris dan Mediasi Diplomatik (ETDMP). Inisiatif ini, yang diadakan atas permintaan Lao PDR dan Timor-Leste bertujuan memperkukuh kemahiran diplomasi serta meningkatkan kefahaman antara budaya peserta negara-negara yang terlibat. Program ini telah menghimpunkan 28 orang peserta dari Timor-Leste, Kemboja dan Laos yang mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan (SSC) dan pembangunan serantau. Usaha ini turut menandakan satu lagi pencapaian penting buat IDFR dalam memperkukuh peranannya di arena antarabangsa.


Kursus Protokol dan Etiket untuk Pegawai Timor Leste direka khusus bagi melatih 14 orang pegawai dari pelbagai kementerian dan agensi di Timor-Leste. Peserta kursus didedahkan kepada prinsip asas protokol diplomatik, termasuk keutamaan susunan, Vienna Convention on Diplomatic Relations, dan cara-cara menganjurkan acara diplomatik. Sesi praktikal juga diadakan bagi mengukuhkan kemahiran peserta dalam komunikasi bukan lisan, bahasa tubuh serta adab dan etika ketika menghadiri majlis makan, serta menekankan kemahiran-kemahiran penting dalam menjayakan diplomasi yang berkesan. Kemahiran penting yang dipelajari semasa kursus ini bertujuan memastikan ketertiban dan tatasusila dipelihara dalam hubungan diplomatik serta membekalkan para peserta dengan kemahiran dan ilmu yang bermanfaat dalam menjalankan tanggungjawab mereka di pentas global.


Dalam masa yang sama, seramai 14 pegawai dari Kemboja, Laos, dan Timor-Leste turut menghadiri kursus Program Latihan Bahasa Inggeris dan Mediasi Diplomatik (ETDMP). Kursus ini bertujuan meningkatkan kemahiran peserta dalam bahasa Inggeris, khususnya dalam konteks diplomatik, di samping menyediakan latihan menyeluruh dalam teknik mediasi. Sepanjang kursus ini, para peserta mendalami ilmu strategi rundingan, peringkat-peringkat mediasi dan kaedah penyelesaian konflik. Melalui kajian kes dan latihan praktikal, para peserta juga mengasah kemampuan untuk mengendalikan situasi diplomatik yang kompleks, dan menguasai kemahiran asas yang diperlukan untuk memelihara kestabilan serantau dan menangani konflik.


Di samping itu, para peserta kedua-dua kursus ini juga terlibat dengan pembelajaran berasaskan pengalaman dan aktiviti budaya. Lawatan berpandu di Kuala Lumpur dan Putrajaya mempamerkan kepelbagaian warisan budaya Malaysia, manakala lawatan ke Sabah dan Sarawak menawarkan perspektif yang lebih mendalam mengenai hal-hal pentadbiran di peringkat wilayah. Lawatan ini bukan sahaja mendedahkan peserta terhadap koordinasi pentadbiran antara kerajaan persekutuan dan negeri, malah turut menyediakan peluang untuk membina rangkaian kerjasama dan berkongsi idea. Dengan menyaksikan sendiri kepelbagaian budaya Malaysia, peserta dapat mendalami peranan diplomasi budaya dalam membina jambatan penghubung antara negara dalam hubungan diplomatik.


Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil kedua-dua kursus ini telah diadakan pada 22 November 2024 di Raja Laut Ballroom, IDEAS Kuala Lumpur. Dalam ucapan penutupannya, Dato’ Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah IDFR, mengucapkan tahniah kepada para peserta dan menekankan peranan kritikal diplomasi sebagai alat untuk memupuk keamanan dan kerjasama antarabangsa. Beliau menggalakkan peserta untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program, di samping menekankan kepentingan sifat saling hormat-menghormati, empati, dan komunikasi yang berkesan dalam menjalankan tugas diplomatik. Dato’ Syed Bakri turut menyampaikan sijil penyertaan kursus kepada para peserta.


Hadir sama dalam majlis penutupan tersebut ialah Encik Phetwilaychanh Souvannarath, Kaunselor Menteri, Republik Demokratik Rakyat Lao; Puan Adelina Martins, Setiausaha Pertama Republik Demokratik Timor-Leste ke Malaysia; Puan Azzizatul Ain Sabani, Penolong Setiausaha Bahagian Kerjasama Antarabangsa dan Pembangunan (ICADD), Wisma Putra; serta wakil-wakil kedutaan negara-negara peserta terlibat.


Secara keseluruhannya, IDFR telah mendapat maklum balas positif daripada para peserta yang menyatakan mereka berjaya memperoleh pengetahuan dan kemahiran bernilai sepanjang program ini berlangsung serta berpeluang membina rangkaian baharu yang bermanfaat untuk masa hadapan.

 MTCP TIMORLESTE 1  MTCP TIMORLESTE 2  MTCP TIMORLESTE 3

fbk

twt

int

tk

yt