Rabu, 18 Jun 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Written

Economic Diplomacy Course 2025

EDC2025 main

Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), telah menganjurkan Economic Diplomacy Course bermula dari 28 hingga 30 April di Hotel Mercure Kuala Lumpur Trion. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para peserta terhadap landskap diplomasi ekonomi Malaysia serta memperkukuh keupayaan strategik dan analitikal mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi global semasa dan isu kritikal berkaitan tarif Amerika Syarikat. Seramai 23 peserta dari gred 41-48 (SSPA: 9-12) menyertai kursus dari pelbagai Kementerian, Agensi dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Sarawak.


Sepanjang kursus selama tiga hari ini, para peserta berpeluang mengikuti sesi-sesi yang disampaikan oleh penceramah dari agensi kerajaan, badan pemikir dan industri. Encik S. Jai Shankar, Pengarah Kanan di MATRADE, membuka perbincangan dengan menerangkan mengenai promosi perdagangan antarabangsa Malaysia serta usaha penjenamaan negara, sambil menekankan kedudukan strategik Malaysia sebagai kuasa perdagangan global. Seterusnya, Dr. Sugumari S. Shanmugam, Pengarah Kanan MITI, membentangkan gambaran menyeluruh mengenai ASEAN Economic Community (AEC), persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta cabaran yang timbul akibat ketegangan perdagangan dan perubahan geopolitik. Encik Qarrem Kassim, penganalisis di ISIS Malaysia, turut berkongsi pandangan tentang strategi dan isu-isu utama dalam hubungan diplomasi ekonomi dua hala Malaysia.


Pada hari kedua, sesi praktikal bersama Encik Amirullah Haji Abdullah telah memperkenalkan konsep asas Return of Investments (ROI) serta mendedahkan para peserta tentang alat serta rangka kerja untuk menilai impak dan keberkesanan projek pembangunan dan ekonomi. Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Prof. Dr. Sufian Jusoh dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) yang memberikan analisis mendalam mengenai perang perdagangan global dan kesannya terhadap strategi ekonomi Malaysia.


Pada hari terakhir kursus, fokus ditumpukan kepada kaedah analisis pelaburan strategik yang juga dibimbing oleh Encik Amirullah, di mana peserta mempelajari pendekatan sistematik dalam menilai peluang pelaburan dan risiko dalam konteks ekonomi global. Kursus ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka sepanjang program.


Secara keseluruhannya, Economic Diplomacy Course telah berjaya memberikan pendedahan yang menyeluruh dan terkini mengenai kedudukan ekonomi Malaysia, strategi pelaburan serta pendekatan diplomasi ekonomi yang relevan dalam landskap perdagangan antarabangsa yang semakin mencabar.

                       EDC2025 1  EDC2025 2  EDC2025 3

Disediakan oleh:
Encik Faris Shaharuddin
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt